Perjalanan Wakaf: Membangun Ummah Berpanjangan

Telusuri setiap detik kejayaan, projek pembangunan, dan inovasi berimpak tinggi yang dibina melalui dana wakaf anda yang terus kekal memberi manfaat kepada asnaf dan komuniti sejagat.

Bermulanya proses perundangan...

Isnin, 1 Januari 2018 hingga Isnin, 31 Disember 2018

Bermulanya proses perundangan bagi pengambilalihan bendang yang disewa dan penyusunan semula 201 hektar tanah bendang milik LZNK.


Lawatan Tapak

Isnin, 16 Ogos 2021

Lawatan tapak bagi proses pengambilan semula tanah LZNK di Kg Padang Lumat, Yan.


Perlantikan LZNK sebagai peneraju Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBBA)

Sabtu, 28 Ogos 2021 hingga Jumaat, 31 Disember 2021

Mesyuarat Lembaga Zakat meluluskan penubuhan Zon Pembangunan Ekonomi Ummah. Perlantikan LZNK sebagai peneraju Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).


PROSES PENGAMBILAN, SIASATAN, DAN TAPISAN PESERTA SMART SBBA

Sabtu, 1 Januari 2022 hingga Sabtu, 31 Disember 2022

Aktiviti memfokuskan kepada proses pengambilan, siasatan, dan tapisan yang teliti bagi memilih peserta yang layak untuk program Smart SBBA. Proses ini melibatkan pengurusan bagi Pakej 1 yang menggunakan tanah milik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Pakej 3 yang melibatkan tanah berstatus sewa atau pajakan.


Tercetusnya Idea Strategik: Hasrat Pembinaan Kilang Memproses Padi LZNK

Rabu, 7 September 2022

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengumumkan sasaran untuk membuka kilang memproses padi sendiri menjelang tahun 2024. Kilang ini bertujuan untuk memproses hasil padi daripada projek Smart Sawah, mengurangkan kos operasi, membantu golongan asnaf, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Langkah ini juga diambil bagi mengimbangi kekurangan kilang padi milik syarikat Melayu yang semakin berkurangan.


PENYERAHAN 3 UNIT MESIN PADI OLEH PERMODALAN NASIONAL BERHAD (PNB)

Isnin, 16 Januari 2023

Berlakunya penyerahan rasmi sebanyak 3 unit mesin padi oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB). Aset mekanisasi ini diserahkan khusus untuk kegunaan dan bagi membantu memperkasakan kelestarian kerja golongan asnaf di bawah projek ini.


MAJLIS PELANCARAN MENUAI PADI BENIH SMART SBBA

Rabu, 13 September 2023

Kemuncak bagi fasa pelaksanaan ini di mana Majlis Pelancaran Menuai Padi Benih Smart SBBA telah diadakan. Majlis pengeluaran hasil pertanian ini telah disempurnakan dan dirasmikan secara rasmi oleh YAB Menteri Besar Kedah.


Sesi Libat Urus Bersama Bank-Bank Islam Bagi Memperkasakan Rantaian Smart SBBA

Khamis, 9 Mei 2024

LZNK mengadakan satu Sesi Libat Urus bersama barisan bank Islam di Malaysia dengan kerjasama MIFC dan AIBIM. Sesi yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Azman Mokhtar ini membincangkan pelbagai bentuk usahasama strategik yang boleh dilaksanakan untuk mengangkat agenda pembangunan ummah. Fokus utama perbincangan adalah melalui pengukuhan rantaian pelaksanaan Projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) agar dapat memberikan impak yang tinggi kepada sosioekonomi asnaf di Kedah, seterusnya berpotensi diperluaskan ke seluruh negara.


Pelancaran Mandat Perdana Menteri & Pementeraian Ikatan Strategik di GFIEF 2024

Selasa, 28 Mei 2024 hingga Rabu, 29 Mei 2024

Sempena Global Forum on Islamic Economics and Finance (GFIEF) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, secara rasmi telah melancarkan "Projek Hasan" dalam ucapan perasmian beliau. Susulan daripada pelancaran mandat tersebut, satu sesi menandatangani perjanjian bertajuk 'MLC KEY FOCUS AREA: STRENGTHENING ZAKAT, Upscaling Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SMART SBBA) Through Islamic Finance' telah berlangsung bagi memeterai kerjasama strategik ini. Inisiatif "Projek Hasan" ini menggabungkan iltizam dan kepakaran antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC), Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM), myWakaf, dan INCEIF University. Melalui pemanfaatan konsep wakaf komersial (Waqf Blended Finance Programme), kolaborasi berskala besar ini komited untuk meluaskan lagi skala Projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) yang telah dirintis sejak tahun 2020. Langkah holistik ini digerakkan demi mewujudkan satu kitaran ekonomi baharu yang mampan, sekali gus memacu usaha membebaskan para petani dan pesawah miskin di negeri Kedah daripada belenggu kemiskinan.


Pelantikan LZNK Sebagai Wakil MAIK Bagi Kutipan Dana Wakaf Tunai Khas

Selasa, 11 Jun 2024

Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK) secara rasmi telah melantik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebagai wakil sah MAIK bagi tujuan kutipan dana wakaf tunai. Melalui pelantikan ini, akaun khas bagi tujuan dana wakaf tunai tersebut turut dibuka di LZNK, sekaligus memperkukuh integrasi instrumen zakat dan wakaf (seperti instrumen Waqf Blended Finance dalam Projek Hasan) demi memacu kelestarian ekonomi ummah di Kedah.


LZNK Mohon Pelantikan Mutawalli Wakaf & Kebenaran Dana Khas Kilang Padi

Isnin, 24 Jun 2024

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) secara rasmi mengemukakan permohonan kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK) untuk dilantik sebagai mutawalli wakaf. Di samping itu, LZNK turut memohon kebenaran untuk menerima wang tidak patuh syariah bagi pihak MAIK. Dana dan kelulusan khusus ini adalah bertujuan untuk membangunkan sebuah kilang memproses padi di Ulu Dulang, Yan, yang bakal dijadikan sebagai aset strategik ummah dalam rantaian projek Smart SBBA.


Perbincangan Meja Bulat (RTD) Projek Hassan Bagi Kelestarian Kilang Padi

Rabu, 31 Julai 2024 hingga Khamis, 1 Ogos 2024

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menganjurkan Round Table Discussion (RTD) Projek Hassan di Alor Setar yang dihadiri hampir 40 peserta daripada Bank Negara Malaysia, institusi perbankan, serta agensi utama termasuk Yayasan Wakaf Malaysia, Majlis Agama Islam Kedah, MIFC, AIBIM, dan INCEIF. Perbincangan ini memfokuskan kepada penetapan mekanisme pengumpulan dana bagi pembangunan kilang padi, memperincikan keperluan operasi (mesin, tenaga kerja, modal, dan rantaian nilai yang efisien), serta menilai model aliran tunai apabila kilang padi mula beroperasi sepenuhnya demi kelestarian Projek Hassan.


Majlis Perasmian Jentera Menuai Padi Sumbangan CIMB Islamic Bank Berhad

Isnin, 2 September 2024

CIMB Islamic Bank Berhad menyumbangkan sebuah jentera menuai padi model New Holland bernilai RM298,000.00 yang dirasmikan di Tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) Batu 16 Padang Lumat, Yan. Projek berimpak tinggi ini dilaksanakan selaras dengan pelancaran 'Project Hassan' yang diumumkan di Global Forum on Islamic Economics and Finance 2024 (GFIEF). Sumbangan ini bertujuan untuk memacu kesinambungan ekonomi keluarga asnaf agar mampu berdikari hingga menjadi pembayar zakat, di samping membantu pesawah mendepani peningkatan kos operasi tahunan.


Majlis Penyerahan Wakalah Agihan Zakat RHB Islamic Bank Kepada LZNK

Khamis, 5 September 2024

RHB Islamic Bank menyerahkan dua buah jentera pembajak dan sebuah forklift bernilai RM341,000 kepada LZNK untuk menyokong Projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) di Yan. Sumbangan ini, yang menjadikan nilai keseluruhan tajaan mencecah RM611,956 (termasuk lori dan dron sebelum ini), bertujuan membantu pesawah asnaf mengurangkan kos operasi tanah dan mesin padi ekoran kenaikan kos sara hidup serta harga diesel. Melalui mekanisasi moden ini, pesawah dapat menjimatkan kos dan mengekalkan keuntungan hasil tanaman mereka.


KDYMM Sultan Kedah Perkenan Melancarkan Sijil Wakaf Tunai Projek Hassan & Menerima Sumbangan Korporat

Khamis, 3 Oktober 2024

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, telah berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Sijil Wakaf Tunai Projek Hassan. Pada majlis yang sama, Baginda turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada 7 syarikat korporat yang berjumlah RM17.59 juta, serta menerima sumbangan wakaf khusus untuk Projek Hassan daripada 13 agensi perbankan dari seluruh Malaysia yang berjumlah RM3.21 juta. Majlis diraja ini menandakan sokongan tertinggi institusi istana terhadap pemerkasaan ekonomi asnaf dan rantaian industri padi zakat di Kedah.


LAWATAN KE KILANG BERAS MELAYU JATI, ROMPIN PAHANG

Khamis, 16 Januari 2025

Lawatan kerja dan penanda aras yang diadakan ke Kilang Beras Melayu Jati yang terletak di Rompin, Pahang. Kilang ini merupakan milik Tuan Mohd Mujahid bin Che Hamid di bawah syarikat Beras Melayu Jati Sdn. Bhd.


PENUBUHAN SYARIKAT JELAPANG UMMAH SDN. BHD.

Selasa, 25 Februari 2025

Penubuhan rasmi syarikat Jelapang Ummah Sdn. Bhd. Langkah korporat ini diambil bertujuan untuk menguruskan operasi kilang padi dan beras secara komersial dan profesional.


FORUM PERDANA HAL EHWAL ISLAM ANJURAN BERSAMA LZNK DAN BIMB

Jumaat, 25 April 2025

Penganjuran Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang dilaksanakan hasil kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Program ini berlangsung di Kompleks Pembangunan Asnaf LZNK.


LAWATAN KE KONSORTIUM KILANG PADI PP TERENGGANU SDN. BHD.

Isnin, 4 Ogos 2025

Sesi lawatan strategik dan teknikal ke Konsortium Kilang Padi PP Terengganu Sdn. Bhd. yang terletak di Jertih, Terengganu bagi meninjau ekosistem pengilangan padi.


SEMAKAN DAN VERIFIKASI REKOD OLEH JABATAN AUDIT NEGARA

Khamis, 21 Ogos 2025

Proses semakan, penilaian, dan verifikasi rekod rasmi yang dijalankan oleh pihak Jabatan Audit Negara bertempat di Kilang Padi LZNK bagi memastikan tadbir urus yang telus.


MAJLIS PENYERAHAN DRON PERTANIAN SUMBANGAN SADA KEPADA LZNK UNTUK PROJEK SMART SAWAH BERSKALA BESAR ASNAF (SBBA)

Isnin, 1 September 2025

Satu majlis penyerahan dron pertanian sumbangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah berlangsung di Tapak SBBA, Batu 17 Padang Lumat, Yan. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Yang Berbahagia Tuan Radzuan bin Osman, dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (TCEO) LZNK, Yang Berusaha Encik Ridzuan bin Ahmad dan Dr Haji Mohd Faisal Bin Mustaffa.Sumbangan melibatkan sebuah unit dron berteknologi tinggi model DJI T50 yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti serta efisiensi pengurusan sawah secara moden. Inisiatif strategik ini memperkasakan lagi keupayaan peserta asnaf di bawah Projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) melalui adaptasi inovasi dan teknologi pertanian pintar.


Jalinan Kerjasama Strategik dan Sesi Rakaman Promosi Projek Hassan Bersama Ustaz Wadi Annuar

Khamis, 9 April 2026 hingga Jumaat, 10 April 2026

Pusat Sedekah dan Wakaf bersama Divisyen Mualaf LZNK telah mengadakan kunjungan hormat ke Akademi Darul Ilmi bagi merangka kerjasama strategik bersama Al-Fadhil Ustaz Wadi Annuar. Pertemuan ini memfokuskan kepada usaha memperkasakan promosi kutipan dana bagi Projek Hassan Kilang Padi LZNK demi membela nasib para petani dan mengangkat martabat ekonomi ummah. Sebagai susulan memorandum tersebut, satu sesi rakaman khas bersama Ustaz Wadi Annuar telah berjaya dilaksanakan di fasiliti Kilang Padi LZNK pada keesokan paginya. Rakaman video dan perkongsian ini diterbitkan sebagai simbolik sokongan padu terhadap agenda keterjaminan makanan ummah serta usaha memugar kesedaran masyarakat untuk bersama-sama mendepani isu kebajikan golongan asnaf.


Lawatan Kerja Yayasan Waqaf Malaysia ke Kilang Padi.

Isnin, 8 Jun 2026

Satu lawatan kerja telah diadakan oleh pihak Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) ke tapak Projek Kilang Padi Wakaf yang terletak di Kampung Dulang Kecil, Yan, Kedah. Lawatan yang dihadiri oleh rombongan YWM ini bertujuan untuk melihat secara dekat perkembangan fizikal dan progres semasa bangunan kilang padi berkenaan. Sebagai salah satu projek impak tinggi, usaha strategik ini memanfaatkan instrumen wakaf dalam memperkasakan ekonomi ummah serta memperkukuh agenda sekuriti makanan negara.